Showing posts with label cuti-cuti malaysia... Show all posts
Showing posts with label cuti-cuti malaysia... Show all posts

Saturday, December 4, 2010

Kuala Woh, Tapah, Perak.

Mak Uda baru balik dari buat lawatan bersama anak-anak murid ke Cameron Highland. Kiranya tahun ni, paling banyak Mak Uda pegi makan angin dan naik angin...tak adalah. Kalau tak Mak Uda ni paling pemalu orangnya, lebih suka duduk di rumah, dah tiru perangai Pak Uda, yang lebih suka duduk dalam 'poghak' sendiri. Kalau diikutkan Mak Uda ni dah puas berjalan dalam negeri-negeri Semenanjung Malaysia ni, sebelah Malaysia Timur je belum pernah dijejak lagi.
       
Kalau Mak Uda pegi pun lebih kepada rombongan bawa budak sekolah. Muka Mak Uda nilah jugak yang bawa budak-budak, rasanya belum pernah sekalipun Mak Uda tak pegi, bukan apa...kadang-kadang lebih kepada rasa belas kepada anak murid tu yang tak pernah pergi bercuti ke mana-mana, memandang mak ayah mereka yang susah. 


Balik kepada tajuk di atas, Mak Uda memang dah lama dengar  nama tempat ni, tapi tak berkesempatan nak pegi lagi. Mak Uda mencarilah maklumat tentang Kuala Woh, Tapah ni di Google. Menarik sekali tentang tempat ni tentang sungainya. Mak Uda lebih menyukai sungai berbanding air laut, tapi yang tak disangka sekali terdapat mata air panas betul-betul berhampiran dengan tebing sungai. Memang mengagumkan kebesaran Allah ni. Bila kita sejuk mandi air sungai, kita boleh terus panaskan badan dan hanya perlu menggunakan 'heater' semula jadi yang Allah ciptakan ni. 

 Kakak berbaju oren tu sedang memanaskan kaki dia. Batu-Batu besar tu semuanya berasa hangat dan kalau nak bertungku lepas bersalin bawak je balik batu-batu besar tu...ha..ha..
Adik dua orang tu tengah 'merendek'...


 Yang menarik juga, kalau nak tengok rama-rama tak payahlah pegi Taman Rama-Rama, di sini rama-ramanya lebih besar dan jinak, serta lebih banyak. Memang menarik. Airnya pulak, Masya Allah, sejuk betul. Prasarananya juga boleh tahan menarik dan ada chalet yang boleh disewa. Kalau dah berkhemah memang bagus tempatnya, nasib baik jauh je, kalau tak hari-hari Mak Uda mandi sungai.



Walaupun penat melayan anak-anak murid dan anak-anak sendiri, tetapi Mak Uda tetap bersyukur, Mak Uda dapat juga bawa semua orang berjalan-jalan. Melayan kerenah orang bukannya mudah, tetapi buat habis baik. Terima kasih semua.

Sunday, May 23, 2010

Cuti-cuti...

Cuti semester akan datang dua minggu lagi. Ke mana kita cuti ni, Mak Uda insya allah akan....ke kelas tambahan untuk tahun enam minggu pertama tu..Minggu ke dua tak tahu lagi, tak boleh nak merancang awal-awal, sebab selalunya tak jadi. Jadi bila 'last minute' baru redah aje..selalunya jadi. Yang pastinya, orang kawin memang banyak jemputan cuti ni, tak pergi tak boleh nanti orang kecil hati, kenduri-kenduri yang kecil pun ada jugak.

Di Melaka cuti ni akan diadakan SUKMA ke-13,mehlah datang ramai-ramai ke Melaka tengok SUKMA, teringat masa zaman akhir di Maktab dulu, Kuantan jadi tuan rumah SUKMA, beraturlah panjang-panjang di tepi pagar tengok maskot melintas, masa tu gajah. Malamnya, Mak Uda dengan kawan serumah Andak Yan dengan Acu Ikin menyelit-nyelit di tengah-tengah orang ramai nak mintak masuk 'free' stadium, nak tengok perasmian SUKMA..Ni dah kawin dan beranak-pinak tak terbuat dah macam dulu..Rupa-rupanya, bila balik duduk kat rumah sewa tengok bunga api lagi seronok, tak payah nak berhimpit-himpit dan merayu-rayu kat urusetia nak minta masuk stadium..Itulah kenangan kan..Pak Uda tak tahu cerita ni, dulu bini dia ni suka buat gila-gila sikit...

Ada juga tempat baru yang dah dibuka iaitu 'Melaka Wonderland'.. Mak Uda belum pergi pun, pandu lalu je selepas Tol Ayer Keroh nak ke Mydin atau Jusco, nampak lah papan tanda, dekat dengan Hutan Rekreasi Ayer Keroh,berdepan dengan Zoo Melaka. Macam seronok je nampaknya, penuh dengan bas pelancongan depan tu. Nantilah Mak Uda buat intipan ye, Mak Uda ni tak suka tempat mandi yang macam tu, nanti airnya tak dijaga dan mudah kena jangkitan kulit, lagi-lagi Si Amir anak Mak Uda yang sulung mudah kena penyakit kulit, tapi alhamdulillah dah baik..nak petuanya, tanya Mak Udalah..

Nampak macam belum siap sepenuhnya, tapi dah ada kolam-kolam yang boleh mandi-manda, perasmian pecah tanah 15 Mei hari tu, ada lagi yang dalam proses nak melengkapkan tempat ni. Seronok kan,macam-macam ada di Melaka. Kalau jalan sesak nak ke Melaka,ikut jalan lama, jangan ikut lebuh raya, ikut depan rumah Mak Uda ni,lalu Lubok China turun tol Pedas atau Tol Simpang Empat, tapi berbelok-belok lah. Melaka sekarang ni sibuk, ada SUKMA ni lagilah sibuk sebab ramai orang suka menyibuk, jadi pergilah cuti tempat lain.. ha..ha...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails