Showing posts with label guru oh guru.... Show all posts
Showing posts with label guru oh guru.... Show all posts

Monday, May 16, 2011

Hari Guru paling sedih...













Mak Uda secara langsung buat liputan dari sekolah Mak Uda.

Tak pernah Mak Uda sesayu ini setiap kali melalui Hari Guru. Banyak betul peristiwa yang membuatkan Mak Uda sedih tahun ni. Hari ni semasa menyanyikan Lagu Guru Malaysia, Mak Uda menitiskan air mata kerana tidak boleh menahan lagi kesedihan yang ada dalam diri Mak Uda. Doakanlah agar Mak Uda sentiasa tabah dan kuat semangat.

Dan tak tahan lagi, kawan yang sejak dulu Mak Uda kenal, Cikgu Nordin Yasir yang telah mengalami kemalangan dan tidak boleh mengajar lagi dan dikategorikan sebagai Guru Dalam Pool. Tetapi pada hari ini, beliau telah berkesudian menyampaikan sajak walaupun tidak berkeupayaan seperti dulu lagi. 

Kami telah menganugerahkan Tokoh Guru 2011 kepada kawan Mak Uda, Pn. Hjh. Hamidah Kasim, 

Selamat Hari Guru 2011...

Mak Uda dapat dua kad ucapan Hari Guru daripada YB Dun Ayer Limau, orang lain punya satu je...(ayat berlagak...)
Selamat Hari Guru buat yang istimewa untuk Mak Uda dan Pak Uda( berlagak betul...ucapan untuk diri sendiri ye...) dan semua warga pendidik seluruh negara termasuklah kawan-kawan Mak Uda dan Pak Uda, adik-beradik, ipar duai dan sanak-saudara yang bergelar 'GURU'...Tak kiralah apa jua jenis guru kita ni, guru mengaji, guru KEMAS, guru TADIKA/TABIKA/PASTI atau pusat asuhan...janjinya ia bertugas untuk mengajar...Guru sekolah memandu dan guru menjahit pun boleh...


Yang pastinya kita sebagai guru telah mengorbankan terlalu banyak, yang pastinya ilmu yang berguna, sampailah kita tiada nanti, semoga ianya dimanfaatkan...

Keduanya, pengorbanan tenaga, kalau bab ini, memang tak terjangkau Mak Uda rasa, bila dibuat rasa macam tah apa-apa tapi rasanya pengorbanan tenaga ni memang susah nak diukur, Mak Uda bukannya nak berlagak tapi rasanya bekas anak-anak murid Mak Uda kalau jumpa mesti bertanya, "Cikgu duduk kat padang lagi?"...Apa yang Mak Uda boleh jawab, Inilah lah cikgu mampu buat biar awak boleh pergi jauh lagi...

Yang kat bawah ni kawan Mak Uda yang membuat kerja serupa dengan tukang kebun tetapi sebagai seorang guru inilaah yang kami lakukan walaupun bukan bidang kerja kami.

Ketiganya, pengorbanan masa...Yang ini memang tak boleh nak cakap. Pukul 7.00 pagi dah terpacak kat sekolah kalau nak menghantar bebudak sekolah pergi masuk apa-apa pertandingan, kaler kulit tak boleh nak cakaplah, tak sempat nak putih... Kalau mengajar kelas peperiksaan pulak, berebut-rebut masuk ke kelas nak memandaikan budak-budak tapi bukanlah memandai-mandai, dan itupun masih ada yang mengatakan kami ni tak pandai lagi mengajar, tak pelah...Allah Maha Mengetahui...   Yang bawah ni kawan Mak Uda jugak yang sempat lagi mengecat mural walaupun ada kelas lagi selepas itu...

Semoga pengorbanan kami dihargai dan dipandang dengan dua belah mata sesiapa sahaja, bukan tugas kami mengajar sahaja tetapi inilah hakikatnya "tugas guru pada masa kini"...Gurulah pelakon, pelukis, tukang kebun, polis, jururawat, perunding dan yang 'sebaris' dengannyalah....Tak kira betapa banyak tugas kami sehari tetapi kami tetap sayangkan tugas kami "Mendidik Anak Bangsa!!!"


Tetapi yang paling Mak Uda suka sekali hari ini, Mak Uda jumpa seorang bekas murid...


"Cikgu ni tetap macam dulu, serupa je macam masa anak dara"...Terima kasihlah...


Kerja Mak Uda setiap tahun tetap menyediakan hadiah untuk semua guru-guru anak Mak Uda...Terima Kasih kerana memandaikan anak-anak Mak Uda dan Pak Uda...



Tuesday, May 3, 2011

Hari Guru 2011



Setakat ini, inilah yang terbaik Mak Uda jumpa untuk lagu tema Hari Guru 2011, 'Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara'.
 Lagu & Lirik : Rosman Adam

Bersatu kita menuju paradigma yang baharu,
Satu tekad dan harapan menyahut cabaran dunia,
Pendidik berkualiti demi mencapai visi,
Dengan azam yang murni membentuk akhlak terpuji,
Guru mendidik insan dengan setulus hati,
Membimbing generasi masa depan,
Guru menjana transformasi pendidikan negara,
Menjayakan hasrat yang murni Satu Malaysia,
Pendidik berinovasi menghasilkan kreativiti,
Bersedia hadapi cabaran,
Arus tanpa sempadan,
Pendidik yang berkualiti,
Membentuk akhlak terpuji,
Mengimbangkan rohani,
Jati diri dan jasmani,
Guru mendidik insan dengan setulus hati,
Membimbing generasi masa depan,
Guru menjana transformasi pendidikan negara,
Menjayakan hasrat yang murni Satu Malaysia,
Satu Malaysia...Satu Malaysia!!! 

Link lain untuk dikongsi...

Video baru Lagu Tema 2011


Wednesday, May 12, 2010

Nostalgia...

Mak Uda yang lama kesepian dan tak ada kuasa nak meng'update' blog sebab tak sihat yang amat rasanya..Ikut-ikutkan dah 6 tahun Mak Uda tak demam yang teruk macam ni..kena beguk lagi, sampaikan tak ada nafsu langsung nak buka komputer. Jadi, bila baik dari demam ni, Mak Uda terus nak kongsi beberapa lagu yang memang sedari dulu Mak Uda sangat suka bila tibanya Hari Guru.. Ada lagi, nanti Mak Uda akan sentiasa akan 'update' entry ni...


Biar Ku Menjadi Lilin (Pelangi)

Biarku menjadi lilin
Memberikan cahaya
Terangi sekeliling dengan diri terbakar
Tak siapa yang sedar
Disaat kegelapan rela aku berkorban
Demi satu harapan

Biar masa berlari
Dan kau terus mendaki
Aku tenang disini dengan sabar menanti
Tanpa dendam dan benci
Andainya kau terjatuh terluka dan tersungkur
Kurawat biar sembuh

Aku tak kan bertanya
Apakah nanti balasannya
Setiap pengorbanan setiap pemberian
Demi satu ikatan

Keikhlasan dihati
Walaupun kau ragui
Pada suatu masa dan suatu ketika
Akan ketara jua

Biarku menjadi lilin
Memberikan cahaya
Saat kau kesepian saat kau kegelapan
Kurela menerangkan

Aku senang begini dapat terus berbakti
Dengan cara sendiri


Jasa Guru

Album : Alif Ba Ta
Munsyid : Aeman
http://liriknasyid.com


Jasa guruku tak terhingga
Aku tidak melupakannya
Banyakku dapat ilmu dari padanya
Jasanya ku kenang sampai bila-bila

Guruku mengenalkan ku pada Tuhanku

Rasul dan wali juga diberitakan
Para malaikat dan juga akhirat
Segala suratan Allah yang menentukan

Guruku mengajar berakhlak mulia

Berkasih sayang sesama manusia
Bertolong bantu dan juga bersatu
Berkorban berkhidmat menabur jasa

Guruku menanamkan cinta akhirat

Menyedarkan aku dunia sementara
Jangan lalai jangan terpesona
Bertaqwa sebagai bekalan ke sana

Aku berdoa kepada Tuhanku

Agar dosa guruku di ampunkan
Jasanya padaku diberi pahala
Di akhirat darjat guruku ditinggikan

Lagu : Isman Nadim Isam

(Hijjaz Music Entertainment (M) Sdn. Bhd.)
Lirik : Isman & Yusuf Sabri
(Hijjaz Music Entertainment (M) Sdn. Bhd.)

Monday, May 3, 2010

Selamat Hari Guru..

Sempena Hari Guru yang bakal tiba tak lama lagi dan sambutannya..Insya Allah akan diadakan serentak seluruh negara pada 17hb Mei nanti, Mak Uda nak selitkan Sajak "Guru Oh Guru"..nukilan Sasterawan Negara, Uthman Awang, mungkin ada cikgu-cikgu di kalangan Mak Uda ni yang nak buat persembahan nanti, cedoklah dan ucapkan terima kasih kepada yang menciptanya.. dan ambillah apa sahaja di sini, Mak Uda tak ada 'award', cuma ini yang Mak Uda ada..Selamat Hari Guru..
 
Sajak Guru Oh Guru
Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi

(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta) 
 
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada haribulan yang sama dalam tahunn 1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita.

Dokumen tersebut yang dikenali sebagai Laporan Razak (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu.


TATASUSILA PROFESION KEGURUAN
Kami, guru-guru Malaysia, yakin bahawa tujuan utama pendidikan ialah berusaha menuju ke arah pembentukan warganegara yang berilmu, yang taat setia, yang bertanggungjawab dan berkebolehan, yang menyedari betapa pentingnya usaha menuju ke arah kebenaran dan ke arah pencapaian hasrat yang gemilang dan yang percaya kepada demokrasi, kebebasan perseorangan dan Prinsip-Prinsip Rukun Negara.
Melalui pendidikan, masyarakat dapat membantu anak mudanya memahami kebudayaan mereka, memperolehi pengetahuan yang telah terkumpul sejak zaman berzaman, dan menyediakan mereka untuk menghadapai cabaran pada masa hadapan.
Dengan menyedari betapa besarnya tanggungjawab membimbing anak muda untuk mencapai kemajuan sepenuh-penuhnya, maka dengan ini kami menerima tatasusila berikut sebagai panduan untuk membolehkan kami menyempurnakan profesion kami ke taraf kesusilaan yang setinggi-tinggnya.

TANGGUNGJAWAB TERHADAP PELAJAR
1. Lebih mengutamakan kebajikan dan keselamatan pelajar kami daripada hal-hal lain.
2. Bersikap adil terhadap setiap orang pelajar tanpa mengira faktor-faktor jasmani, mental, emosi, politik, ekonomi, sosial, keturunan atau agama.
3. Merahsiakan maklumat ikhtisas atau sulit mengenai pelajar kecuali kepada mereka yang berhak mengetahuinya.
4. Membimbing atau mengajar seseorang pelajar dalam darjah sendiri atau dalam mata pelajaran-mata pelajaran yang diajar di bilik darjah tanpa sebarang bayaran.
5. Menunjukkan satu cara pakaian, pertuturan dan tingkahlaku yang dapat memberikan contoh yang baik kepada pelajar.
6. Memelihara dan memperbaiki kecekapan ikhtisas melalui pengkajian, lawatan dan menghadiri kursus ikhtisas, persidangan, mesyuarat atau seminar supaya pengajaran kami mencapai mutu yang setinggi-tingginya.

TANGGUNGJAWAB TERHADAP IBU BAPA
1. Menghormati tanggungjawab utama ibu bapa terhadap anak-anak mereka.
2. Berusaha mewujudkan hubungan mesra dan kerjasama yang erat di antara institusi pendidikan dengan rumahtangga.

3. Menganggap semua maklumat yang diberikan oleh ibu bapa mengenai keadaan rumahtangga atau mengenai anak mereka sebagai sulit dan tidak akan membocorkannya kepada sesiapa kecuali kepada mereka yang berhak mengetahuinya.
4. Memberikan maklumat kepada ibu bapa demi kepentingan anak-anak mereka, dan menggunakan maklumat yang diterima daripada ibu bapa secara teliti dan bijaksana.
5. Mengelakkan diri daripada menggunakan atau dipengaruhi oleh kedudukan sosial dan eknonomi ibu bapa pelajar.
6. Mengelakkan diri daripada mengeluarkan kata-kata atau melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan kepercayaan pelajar terhadap ibu bapa atau penjaga mereka.

 TANGGUNGJAWAB TERHADAP MASYARAKAT DAN NEGARA
1. Mengelakkan diri daripada menyebarkan sesuatu ajaran yang boleh merosakkan kepentingan pelajar, masyarakat, negara atau pun yang bertentangan dengan Rukun Negara.
2. Memupuk dalam diri setiap pelajar sikap dan nilai yang boleh membantu dan membimbing mereka untuk menjadi warganegara yang taat setia, bertanggungjawab dan berguna, menghormati adanya perbezaan kebudayaan, keturunan dan agama.
3. Menghormati masyarakat tempat kami berkhidmat dan memenuhi segala tanggungjawab sebagai seorang warganegara dan sentiasa sanggup mengambil bahagian dalam sebarang kegiatan masyarakat.
4. Menggalakkan kerjasama dan persefahaman di antara guru dengan ibu bapa, institusi pendidikan dengan masyarakat.
5. Memberi sumbangan cergas untuk meningkatkan kehidupan moral, kebudayaan dan kecendekiawan masyarakat.
6. Berpegang kepada tingkah laku yang sopan yang diterima oleh masyarakat dan menjalani kehidupan sehari-hari dengan baik.
TANGGUNGJAWAB TERHADAP RAKAN SEJAWAT DAN PROFESION KEGURUAN
1. Mengelakkan diri daripada membuat sebarang kenyataan atau ulasan yang boleh mencemarkan nama baik seseorang guru di hadapan pelajar atau ibu bapa, atau berbuat sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah seseorang guru.
2. Tidak melibatkan diri dalam kegiatan yang boleh menjejaskan kecekapan kami sebagai guru.
3. Berusaha dengan sepenuh-penuhnya menunaikan tanggungjawab kami dengan rajin dan bersungguh-sungguh dan mengekalkan sejajar dengan kemajuan ikhtisas dan sosial.
4. Sentiasa bersedia membantu rakan sejawat kami terutamanya mereka yang beru dalam profesion keguruan.
5. Sentiasa mengawasi diri kami supaya tidak mencemarkan nama baik profesion keguruan.
6. Akan menjadi ahli sesebuah pertubuhan guru.
CATATAN:
Guru yang dimaksudkan dalam konteks tatasusila ini ialah orang yang menyebarkan ilmu pengetahuan di sesebuah institusi peringkat rendah, menengh dan tinggi, termasuk guru terlatih yang bertugas dalam pentadbiran, organisasi dan penyeliaan pendidikan.
 
 
Ikrar Hari Guru
Bahawasanya kami
Guru-guru negara Malaysia
Dengan ini berikrar
Mendukung terus cita-cita kami
Terhadap tugas kami
Dan menyatakan keyakinan kami
Pada cita-cita murni pekerjaan kami
Kami akan berbakti
Kepada masyarakat
Dan negara kami.
Kami sentiasa menjunjung
Perlembagaan negara
Kami mengamalkan
Prinsip-prinsip Rukun Negara
Pada setiap masa.

Lirik Lagu Guru Malaysia
Kami guru Malaysia
Berikrar dan berjanji
Mendidik dan memimpin
Putra putri negara kita
Pada Seri Paduka
Kami tumpahkan setia
Rukun Negara kita
Panduan hidup kami semua

Di bidang pembangunan
Kami tetap bersama
Membantu, membina
Negara yang tercinta
Amanah yang diberi
Kami tak persiakan
Apa yang kami janji
Tunai tetap kami tunaikan
Lagu & Lirik : Hashim Ahmad
Lagu dan Vokal :: Video Klip 

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails